SEJARAH SEKOLAH

Penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Keningau Bermula pada 10 Februari 1986. Penubuhan sekolah ini diilhamkan oleh Pegawai Pendidikan Bahagian (pada waktu itu) iaitu Hj. Mohd. Farid Linggi, yang bertujuan untuk mengatasi masalah ketiadaan tempat belajar seratus lebih orang pelajar pada masa itu. SMK Keningau pada waktu itu menumpang 3 bangunan di SK Pekan Keningau, dengan tenaga pengajar seramai 6 orang, termasuklah Pengetua, Encik Ujuh Iyai, Encik Mersin Sukiman (Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum) dan 4 orang guru biasa.

Sekolah ini telah menubuhkan Persatuan Ibubapa Guru (PIBG) dengan pengerusi pertamanya iaitu Encik Vincent Marukau. Pada tahun 1987, berkat usaha Encik Vincent Marukau dengan kerjasama pihak pentadbir sekolah maka sekolah ini telah mendapat kelulusan pembinaan projek bangunan kilat yang mengandungi 4 bilik darjah. Bagi memudahkan urusan pentadbiran sekolah, maka pada tahun 1989, Pejabat Pendidikan Bahagian Keningau telah membenarkan pihak sekolah menggunakan bangunan Pusat Sumber Bahagian Keningau sebagai bangunan pentadbiran sekolah.

Pada mulanya sekolah ini bernama SMK Sook, Keningau. Nama SMK Sook wujud kerana kelulusan lokasi pembinaan sekolah dari Kementerian Pendidikan Malaysia adalah di pekan Sook, Keningau. Walau bagaimanapun, disebabkan berlaku konflik antara penduduk pekan Sook dengan penduduk Batu Lunguyan (Tulid), maka pembinaan sekolah ini tergendala seketika. Dengan mengambilkira kelulusan peruntukan yang telah diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia maka Pegawai Pendidikan Bahagian (pada masa itu) telah memindahkan lokasi pembinaan sekolah ini ke pekan Keningau. Dalam mesyuarat PIBG pada tahun 1986, pihak sekolah telah memutuskan untuk menukar nama SMK Sook kepada SMK Keningau.

Lembaran baru SMK Keningau bermula apabila pada bulan Disember 1991, SMK Keningau dipindahkan ke Bukit Langsat, dengan segala bentuk kemudahan yang baru siap dibina.

Hari Perasmian Sekolah